Monday, March 22, 2010

tulisan sang otai - hishamuddin rais #1



untuk menentang insomia yang makin ketara,tapi takde idea nak tulis,aku kopipes je tulisan orang.selamat baca!

MANUSIA MELAYU DENGAN KRISIS NILAI

Saya selalu mendengar ucapan-ucapan para politikus tentang betapa berbudi bahasanya manusia Melayu ini. Saya juga ada membaca dalam kitab dan buku-buku lama tentang nilai nilai indah manusia Melayu. Malah ada si polan dan si polan yang tanpa segan silu dan tanpa selidik yang dalam telah berani mengakui bahawa manusia Melayu - satu satunya manusia di dunia ini yang besopan santun dan berbudi bahasa.

Memang betul – ada kebenaran kenyataan ini. Manusia Melayu lima puluh tahun dahulu bersopan santun dan berbudi bahasa. Memang betul manusia Melayu tiga puluh tahun dahulu memiliki nilai kemanusiaan yang kukuh. Tetapi hari ini semuanya telah berubah dan bertukar. Sadikit demi sadikit nilai budi bahasa sopan santun manusia Melayu itu telah berubah.

Perubahan ini muncul kerana asas sistem ekonomi manusia Melayu itu berubah. Dari masyarakat feudal yang berasaskan ekonomi pertanian manusia Melayu telah memasuki ke alam ekonomi kapitalis. Perubahan ini tidak dapat tidak telah juga mengubah pembudayaan manusia Melayu itu sendiri.

Satu ketika dahulu kenduri nikah kahwin adalah kerja bergotong royong untuk sanak saudara dan jiran sekampong – kini semuanya dijalankan oleh kontrektor. Tenaga dan masa yang satu ketika dahulu melimpah ruah dan diberikan secara percuma kini – masa dan tenaga - telah di ukur dengan nilai wang ringgit. Justeru kita tidak akan hairan kadangkala upacara keagamaan juga memerlukan perbayaran. Iman dan Tok Kadi kini perlu dibayar untuk doa dan kehadiran mereka. Tiga puluh tahun dahulu mustahil pekara ini berlaku.

Peralihan dari sistem ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini telah didatangkan dengan mendadak. Peralihan ini bukan satu evolusi – sadikit demi sedikit. Ianya adalah sebahagian dari nilai budaya Dasar Ekonomi Baru yang diajukan oleh kerajaan United Malays National Organisation bermula dari tahun 1970. Dalam masa tiga puluh tahun manusia Melayu kampong berubah untuk menjadi manusia Melayu bandar. Dari suasana kampong yang aman permai manusia Melayu telah di lambakkan ke dalam kota dan pekan yang hiruk piruk dan penuh dengan persaiangan.

Peralihan dari ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini adalah perjalanan sejarah ekonomi kapitalis. Ini adalah hukum perjalanan ekonomi kapitalis yang beralih dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain. Ini bukan menghairankan. Apa yang menjadi masaalah disini ialah proses peralihan ini datang mendadak kepada manusia Melayu. Dalam masa satu jenerasi – tiga puluh tahun - kaum tani Melayu telah berubah dari bercucuk tanam untuk menyara hidup kepada penjual tenaga untuk membeli makanan.

Ekonomi wang ringgit yang dipekenalkan oleh sistem kapitalis ini telah membawa nilai-nilai baru. Manusia Melayu kini berhadapan dengan gelombangan pasang surut ekonomi kapitalis dunia. Manusia Melayu tidak lagi tinggal bersendirian dalam tempurong suasana kampong yang aman permai.

Perubahan mendadak ini telah melahirkan kekacauan budaya. Ianya juga melahirkan kekacauan nilai. Ianya juga melahirkan kekacauan jati diri. Ketiga-tiga kekacauan ini sedang berlaku sekarang ini. Semua manifestasi dari kekacauan ini dapat kita lihat. Setiap hari jika kita memberi perhatian yang rapi maka apa yang kita baca dari akhbar atau ada yang kita dengar dari radio atau lihat dikaca tv – adalah manifestasi dari kekacauan ini. Apa yang dipanggil masaalah sosial itu sebenarnya adalah manifestasi kekacaun nilai manusia Melayu.

Ekonomi kapitalis ini telah menobatkan hak individu lebih tinggi nilainya dari hak orang ramai. Hak individu lebih dihormati dari hak kelompok. Ekonomi kapitalis ini telah membuat ukuran dan rujukan bahawa kesempurnaan hidup dan kejayaan hidup akan dinilai dengan jumlah harta benda yang dimiliki. Susuk tanpa pemilikan akan di cap sebagai susuk yang gagal.

Kerana ini kita lihat manusia Melayu ketika ini dalam keadaan bagitu kacau sekali. Jiwa dan hati nuraninya sedang dirobek-robek oleh keadaan sekeliling. Zaman hidup aman damai tanpa penggunaan wang ringgit yang banyak masih lagi dalam ingatan. Nilai kampong yang penuh dengan berbudi bahasa kini dalam peralihan. Nilai ini sedang bertembung dengan nilai ringgit dan dinar.

Hasil pertembungan ini, sadikit demi sadikit nilai budi murni manusia Melayu terhakis. Sadikit demi sedikit nilai kejujuran yang dimiliki oleh manusia kampong lupus. Kuasa ringgit dan dinar cukup ampoh. Kuasa ringgit dan dolar telah dapat menengelamkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh manusia Melayu. Nilai ini mewajibkan manusia Melayu berlumba dan bersaing. Manusia Melayu diwajibkan untuk merebut peluang ekonomi duit ringgit kalau tidak mereka akan dilihat gagal.

Selama lebih dua puluh tahun ini , proses pembudayaan manusia Melayu cukup kacau bilau. Dasar siasah dan ekonomi yang diajukan oleh United Malays National Organistation ini adalah dasar kapitalisma – pasaran terbuka. Kekacauan nilai manusia Melayu ini bertambah parah apabila dalam hal pembudayaan United Malays National Organisation telah memperkukuhkan teras kefeudalan Melayu lama. Simbol dan upucara feudal diperkukuh dikalangan masyarakat Melayu.Ini bertujuan untuk memastikan manusia Melayu tidak akan melarikan diri dari jaringan perangkap politik United Malays National Organisation.

Dari satu segi manusia Melayu diajak masuk ke dalam budaya ekonomi kapitalis pasaran bebas. Dalam satu segi yang lain mereka diperlukan taat setia kepada United Malays National Organisation sebagai payung feudal untuk manusia Melayu berteduh. Kecelaruan ini melahirkan kesakitan yang amat sangat.

Justeru hari ini kita melihat adanya Melayu yang ingin menjadi Arab. Ini adalah jalan senang untuk tafsiran jati diri kemelayuan mereka. Mengikut takrifan mereka menjadi Arab/Melayu/Islam ini adalah benteng pertahanan jati diri dari serangan kapitalis global. Dalam masa yang sama kita melihat Melayu yang gaya hidupnya cukup kosmopolitan yang bebas dari ciri-ciri nilai Melayu tradisional.

Hakikatnya nilai majoriti manusia Melayu hari ini amat kacau. Kejujuran, budi bahasa and tulus ikhlas semakin berkurangan. Ampu bodek dan bermuka muka menjadi budaya harian. Kalau dahulu : Kata akan di kota sebagai pegangan budaya Melayu. Kini kata wajib disadur dengan ringgit dan dolar. Semua ini adalah nilai-nilai yang dilahirkan oleh budaya sistem ekonomi kapitalis.

Pada awal tahun 2010 ini krisis nilai manusia Melayu telah sampai ke satu kemuncak persimpangan. Manusia Melayu di Malaysia pada thun 2010 ini sedang di uji sama ada dalam roh kemelayuan mereka ada atau tidak lagi tersimpan nilai-nilai kejujuran. Apakah manusia Melayu boleh bercakap benar. Apakah manusia Melayu itu akan tahu apa yang hak dan apa yang batil.

Ujian yang saya maksudkan ini ialah ujian yang didatangkan oleh kes Anwar Ibrahim. Kes Anwar Ibrahim yang ke dua ini akan menguji manusia Melayu dengan nilai-nilai kemelayuan mereka hingga ke akar umbi. Saya takrifkan sebagai ujian kerana apabila kes ini dibuka di mahkamah nanti maka seluruh warga Malaysia dapat membaca dan menilai apa sebenaranya disebalik pembicaraan kes Anwar Ibrahim ini.

Manusia Melayu akan diuji sama ada mereka berani berkata benar apabila melihat fakta yang terpampang di hadapan mata mereka. Atau mereka memileh untuk menjadi manusia yang tidak jujur untuk terus menipu diri sendiri kerana kepentingan ekonomi.

Ujian yang akan sampai ini adalah ujian terahir untuk tamadun Melayu. Ujian ini adalah ujian nilai tentang harga budaya bangsa, jati diri bangsa dan masa hadapan tamadun negara bangsa. Di kemuncak persimpangan ini semua manusia Melayu - tua dan muda - wajib melihat dan menilai diri mereka sendiri

Diakhir ujian ini jiwa halus manusia Melayu akan bertanya sendiri apakah maksud kata-kata ini : Bercakap benar didalam sebuah negara yang penuh dengan kezaliman dan penindasan ialah satu jihad. Bercakap benar dalam sebuah negara kuku besi adalah langkah revolusi. (TT)

2 comments:

LoveShak said...

Aril...semua komen yang ko cakap dlm blog obiefiend, bukan salah agama...tapi salah orang. Pak arab curi harta bilion2 xkena potong tgn, bkn salah agama...tp salah org yang xnk bertindak. Dalam kitab dah suruh potong tgn, tp kalau orang ingkar taknak wat, bukan lah salah kitab.

Orang miskin xmampu kawin kena tgkp khalwat, org kaya langgan pelacur xkena tangkap, bukan salah agama. Takde dlm kitab ckp "hukumlah orang MISKIN yang berzina, tapi lepaskan orang KAYA"....TAKDE.

Orang miskin yang KONONNYA xmampu kawin pun, bukan salah agama, tapi salah MANUSIA sendiri.. kalau ikut hukum agama, untuk sah nikah cuma perlu ada sorg wali kpd pengantin perempuan dan dua saksi... settle... apa yang buat orang xmampu kawin? Hantaran? Sanding? Duit kenduri? Duit katering? Itu semua bukan tuntutan agama...itu tuntutan MASYARAKAT...

So kalau orang xmampu kawin, nak salahkan kita yang nak memenuhi keperluan masyarakat, or nak salahkan agama?

Pasal sungai bersih kat kanada yang bukan negara rasmi islam dan sungai kat malaysia yang kotor, bukan salah agama. Tapi salah masyarakat. Dalam agama dah disuruh menjaga kebersihan...

Agama xsalah, tapi penganut agama yang xikut agama tu yang salah... Agama kalau diikut, dah perfect dunia akhirat...

Aril Cantona said...

awek cun komen gua tu beeeebbb...

macam ni la loveydoveydoo.

Salah manusia bukan agama.Tapi kamu ni hidup sebagai manusia yang beragama atau agama yang bermanusia?

Sedar atau tak,kita sebenarnya dikelepet oleh orang atas.Orang pergi Mekah sekarang bukan sebab agama tapi sebab nak menunjuk.Orang sekarang ni menderma zakat tapi sebab nak menunjuk.Masuk Akademi al-Quran sebab nak SMS.

Tapi,manusia boleh hidup tanpa agama.Agama yang tak boleh hidup tanpa manusia.Ini benar.Cuba pergi pedalaman orang asli berapa ramai yang tak menganut agama.Ada yang percaya kat animinisme,ada yang tak percaya langsung.Tapi mereka boleh hidup.

Tapi boleh tak agama disebarkan oleh kucing,ayam atau kanggaru?Maka jawabnya tidak.

Manusia dan agama sepatutnya bersimbiosis.Manusia perlukan agama untuk panduan hidup tapi agama perlukan manusia untuk panduan hidup itu bererti.Buat apa buat signboard tepi jalan kalau akhirnya tak ikut.

Tapi kalau signboard takde,orang masih boleh berikthiar dengan cari arah matahari ke,arah angin ke apa.

Akhir sekali,kehidupan kita ni berjalan bukan disebabkan kebaikan yang kita buat.Sebab kita mencari makanan.Sumber ekonomi.Nak beli nasi goreng ayam bukan harga 5 kejujuran tapi 5 ringgit.

OK?Are we clear awek cun?